Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.Sahabat yang dirahmati Allah,Setiap kali kita menghadapi makanan dan minuman, kita berdoa kepada
Allah agar di berikan barakah dari rezeki yang akan kita santapi. Setiap
kanak-kanak muslim juga di didik sejak dari tadika lagi untuk berdoa
sebelum makan. Barakah dari rezeki itulah yang kita hajatkan.Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur
untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan
dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada
Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan akidah seorang
muslim, Allah S.W.T. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah
al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini
dipermudahkan oleh Allah S.W.T. untuk manusia, agar di gunakan dalam
usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah
S.W.T. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang
berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun.
Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah
botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut
botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke
dalamnya).Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi
Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula
sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.
Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang
dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar
sebutir gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin
sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan
rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.
Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia
mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin
dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa
lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi
padanya?
Pengajaran yang boleh di perolehi daripada kisah ini adalah semut
lebih yakin jaminan rezeki daripada Allah S.W.T.(bertawakal kepada
Allah) ketika di luar botol berbanding “jaminan” manusia ketika berada
di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah
berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia
masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.
Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada
Allah S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah
S.W.T? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang
lahir ke dunia, Allah S.W.T. telah menjamin rezeki untuknya, samaada
ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.
Sahabat yang dimuliakan,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T. telah ditetapkan
rezeki untuknya. sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah S.W.T. yang
Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua
makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah
sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun
daripadanya.
Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia
akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah
S.W.T. dimuka bumi ini.
Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan
kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari
jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada
Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya.”
(Surah At-Talaq ayat 2-3)
Takwa adalah merupakan kriteria atau ukuran sesaorang yang paling
hampir dengan Allah S.W.T. Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah
yang paling tinggi takwanya maka dia adalah orang yang paling mulia
disisi Allah S.W.T. Orang yang bertakwa adalah orang mukmin yang cukup
berhati-hati didalam menjalani kehidupan didunia ini, amat takut
kalau-kalau dia terjerumus didalam kehidupan yang mendatangkan kemurkaan
Allah S.W.T.
Ia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang
wajib tetapi ia telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh.
Dalam amalan ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka
merapatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T, malahan semua yang harus
pula di niatkan kerana Allah supaya ianya menjadi ibadah.
Allah S.W.T. akan membantu orang-orang yang bertakwa, segala
kesusahannya, kemiskinannya dan apa-apa saja permasaalaan hidup yang
dihadapinya, akan terbentang luas jalan keluar diberikan oleh Allah
S.W.T. Bukan setakat ini saja, malahan Allah S.W.T.akan memberikan
rezeki yang tiada disangka-sangka samaada rezeki datang dari langit,
bumi, lautan, malahan yang jauh didekatkan, yang sedikit diperbanyakkan
dan yang banyak dipermudahkan.
Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri, “Kenapa
rezekiku sempit? Buat berbagai usaha tetapi masih gagal mencapai
matlamatnya?Berniaga merosot, puas aku berdoa dan minta pertolongan
Allah tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya?”
Perlu di ingat bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan berlaku
kepada para hamba-Nya dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan
hambanya sendiri. Kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya
semakin banyak ia berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan
hubungan yang erat hatinya dengan Allah S.W.T. dan Dia ingin memberikan
pahala yang besar kepadanya diatas kesabarannya. Oleh itu kita kena
berbaik sangka dengan Allah S.W.T. berdoa dan terus berdoa jangan putus
asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah S.W.T.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud : “Allah S.W.T. berfirman, ‘Aku sesuai dengan prasangka
hamba-Ku kepada diri-Ku’.”
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya : “Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini
adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut
mengatasi rasa harap.
Sahabat yang dikasihi,
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud :
“Jika sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar
tawakal, pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi
rezeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok
kosong dan waktu pulang kesarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah
penuh.”
Orang-orang yang bertawakal ialah mereka yang yakin dengan jaminan
rezeki daripada Allah S.W.T. dan mereka akan mendapat balasan yang baik
di akhirat nanti.
Kunci rezeki dan perbendaharaan Allah S.W.T. hanya berada
ditangan-Nya dan Dia akan membuka pintu rezeki ini seluas-luasnya kepada
hamba-hamba-Nya yang banyak beristighfar, bersedekah, sentiasa
berwuduk, menghubungkan silaturahim, solat duha, solat tahajjud ,
berzikir dan membaca al-Quran. Amalan-amalan soleh ini jika diamalkan
akan membina jambatan hati kita dengan Allah S.W.T. dan apabila Dia
kasih dan sayang pada kita maka segala permohonan dan doa kita
dimakbulkan-Nya dan di kurniakan rezeki di jalan yang tiada
disangka-sangka.
Kesimpulannya, dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan
sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah. Oleh
itu, kita perlu bertawakal kepada Allah dengan hakikat tawakal yang
sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan
pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita
inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka
dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan
antara dunia dan akhirat.
Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini.
Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia
tidak akan dapat mengatasi takdir Allah.
0 comments:
Post a Comment